Asid folik dianggap sebagai makanan otak juga dikenali
sebagai folat atau folasin yang merupakan salah satu vitamin kumpulan B,
dikenali sebagai B9. Badan kita memerlukannya untuk penghasilan tenaga,
penghasilan sel darah merah dan juga norefrinefrina serta serotonin (komponen
kimia dalam sistem saraf). Ia turut memainkan peranan dalam membantu
penghasilan DNA (bahan genetik badan), yang akan memulihkan fungsi otak dan
merupakan komponen kritikal cecair tulang belakang. Ia juga menguatkan imuniti
dengan membantu dalam pembentukan yang sesuai dan fungsi sel darah putih. Oleh
kerana ia berfungsi sebagai koenzim
dalam sintesis DNA dan RNA , ia adalah penting untuk pecahan dan penyalinan sel
yang sihat. Asid folik juga turut terlibat dalam metabolisma protein, dan telah
digunakan dalam pencegahan dan rawatan
folik asid anemia.
Asid folik adalah sejenis bahan mineral yang diperlukan oleh
kanak-kanak demi memastikan pertumbuhan yang sempurna dan amat penting bagi
kanak-kanak untuk mendapatkan jumlah asid folik yang diperlukan oleh tubuh
mereka. Sungguhpun begitu sumber makanan lain yang mengandungi karbohidrat,
vitamin, mineral, protein dan juga lemak adalah penting dalam memelihara
pertumbuhan dan pembesaran badan yang seimbang. Hal ini kerana, makanan berbeza
mempunyai jumlah nutrien yang berbeza. Tidak ada satupun makanan yang dapat
membekalkan kesemua nutrien makanan yang diperlukan. Sekiranya si kecil tidak
mendapatkan jumlah asid folik seperti yang disyorkan. Mereka mungkin mengalami
tanda-tanda seperti keletihan, muka pucat
dan kelesuan badan (tidak bertenaga).
Asid Folik sangat penting dalam kehamilan. Ia membantu
mengatur pembentukan sel saraf
"embryonic" dan "fetal", yang mana amat penting
untuk tumbesaran yang normal. Terdapat
beberapa kajian yang menunjukkan kepentingan asid folik dalam perkembangan
saraf dan otak bayi dalam kandungan,sebelum dan semasa mengandung. Ramai wanita
yang tidak mengetahui yang pengambilan asid folik perlu dilakukan sebelum
mengandung lagi untuk pembinaan sel-sel bayi dalam kandungan. Asid folik
diperlukan untuk merangsang kesempurnaan pembentukan saraf tunjang semasa di
peringkat awal mengandung iaitu 4 minggu pertama. Ini dapat membantu
menghindarkan kecacatan bayi yang dipanggil "Neural Tube Defect"
(NTD). Menurut kajian pengambilan asid folik dapat membantu mencegah kecacatan
ini di antara 50% hingga 70% kemungkinan daripada ianya terjadi. Terdapat dua
bentuk utama NTD iaitu anencephaly dan spina bifida. Anencephaly ialah tiada
sebahagian atau keseluruhan otak bayi manakala spina bifida pula adalah keadaan
di mana terdapat bukaan pada tulang belakang yang mungkin boleh menyebabkan
lumpuh.
Asid folik juga merupakan satu daripada beberapa nutrien
yang diketahui mencegah kecacatan tiub saraf seperti spina bifida, yang berlaku
bagi 10 dalam setiap 10,000 orang bayi. Wanita yang tidak mengambil asid folik
secukupnya juga akan meningkatkan kemungkinan mengalami keguguran dan kelahiran
yang menyebabkan kematian. Ibu yang telah mempunyai seorang anak dengan
kecacatan tiub saraf mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkan anak
yang seterusnya dengan kecacatan yang sama. Dalam kes seperti ini, doktor akan
mempreskripsikan dos asid folik yang lebih tinggi bermula sebulan sebelum
hamil, jika boleh, dan diteruskan sehingga tiga bulan pertama kehamilan. Di
negara-negara maju seperti Amerika Syarikat kempen-kempen giat dijalankan untuk
memberikan kesedaran kepada wanita tentang kepentingan asid folik bagi bakal
ibu dan ibu yang sedang mengandung. Keperluan asid folik boleh didapati sama
ada dengan memakan makanan yang diperkayakan dengan asid folik atau dengan
pengambilan pil asid folik. Kemungkinan besar asid folik juga boleh
mengurangkan lain-lain kecacatan atau masalah bayi seperti sumbing lelangit,
kecacatan jantung, pembentukan kaki dan tangan yang tidak sama panjang (limb
reduction), kecacatan sistem pembuangan air kencing dan pucat (anaemia).
Badan Kesihatan Dunia ‘World Health Organisation’(WHO)
mencadangkan bahawa pengambilan sumber
asid folik adalah seperti berikut :
-Kanak-kanak berusia 1-3 tahun: 160ug/sehari
-Kanak-kanak berusia 4-6 tahun:200ug/sehari
-Kanak-kanak berusia 7-9tahun:300ug/sehari
-Ibu mengandung: 600ug/sehari
-Ibu menyusu bayi:500ug/sehari
Asid folik boleh ditemui dengan banyaknya di dalam sumber
sayur-sayuran hijau dan turut terdapat di dalam susu dan sumber tenusu. Makanan
berikut mengandungi asid folik : barli,
daging lembu, ragi yang ditapai, beras perang, keju, ayam, buah kurma, sayuran
berdaun hijau, daging kambing, hati, susu, cendawan, oren,
sayuran berubi, ikan salmon, tuna, gandum, dan bijirin. Asid folik dalam
makanan akan dimusnahkan jikalau ia terlebih masak kerana ianya mudah larut
dalam air, jadi anda dinasihatkan memasak dalam kuali bertutup dengan jumlah
air mendidih yang minima serta pendekkan masa memasak. Anda juga digalakkan
untuk mencuba makan sayur-sayuran yang dicelur atau dimasak menggunakan ketuhar
gelombang mikro atau mentah.
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan pengambilan asid
folik turut dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, strok, kanser usus
besar dan kanser pangkal rahim.
No comments :
Post a Comment